Memang UMNO sakit tenat dan kronik. Permasalah UMNO sudah memuncak dan merayap ke akar-umbi. Apa dan bagaimana hendak dilakukan untuk memperbetulkannya lagi? Kerana itu mungkin ada pihak yang duduk diluar parti melihatnya dengan resah.
Tun Dr. Mahathir sendiri menyatakan bahawa UMNO sudah busuk hingga ke usus. Tun tentu lebih tahu dan faham tentang UMNO. Terbaru Tun mengeluarkan kenyataan bahawa jika PRU diadakan sekarang ini UMNO BN akan kalah teruk. Soalnya kelemahan UMNO ini salah siapa?
Ada pendapat mengatakan bahawa walau siapapun yang menerajui UMNO, UMNO sudah tidak akan dapat dipulihkan lagi. Sekarang inipun, dalam PM berteriak-teriak meminta UMNO berubah, namun apa dan siapa saja yang berubah?
Kita selalu kaitkan 'politik wang' didalam UMNO yang telah mengubah sikap kebanyakan ahli-ahli masa kini. Perebutaan mendapatkan jawatan didalam parti dengan cita-cita dan harapan untuk memperolehi ganjaran, dan sikap ini sungguh berbeza dengan UMNO dahulu kala. Pada ketika dahulu, ketika semangat perjuangan masih kental dalam dada ahli-ahli UMNO, segalanya dilakukan benar-benar dengan niat membela agama, bangsa dan negara mengatasi segalanya. Pemimpin sanggup berkayuh basikal dan berjalan kaki 'berbatu-batu' (sekarang kilometer) menemui rakyat marhaen dengann rasa rendah diri.
Kini para pemimpin datang dengan kenderaan mewah mereka dengan sombong dan bongkak (bukan semuanya) membuatkan rakyat benci dan meluat serta menimbulkan persepsi bahawa perjuangan dalam parti adalah untuk kepentingan diri dan kroni.
Kita ingin mengubah UMNO, mungkin kita boleh memilih pemimpin lain tetapi jika pilihan kita itu dari golongan atau kelompok yang sama dan para pemilihnya juga dari golongan sama, maka kita masih akan mendapat pemimpin yang serupa walaupun tidak kelihatan sama. Maka UMNO akan masih tetap dalam keadaan serupa dan tidak berubah.
Mampukah pemilih yang dipilih melalui 'politik wang' memilih pemimpin yang bersih dari 'politik wang'? Jangan hairan dan jangan kecewa bila kita katakan bahawa sebenarnya UMNO masih belum mengubah apa-apa lagi. Politik cantas mencantas yang diamalkan dibahagian sudah jadi budaya diperingkat cawangan dan dihalalkan, maka banyaklah ahli yang 'baik' pekertinya ditumbangkan dan akhirnya membawa diri keluar dari parti.
Anak-anak muda yang berminat untuk menyumbangkan tenaga disekat dari menyertai parti kerana bimbang akan mencabar Ketua dan perwakilan ke Mesyuarat Bahagian akan datang. Akhirnya UMNO menjadi semakin kecil dan lemah. UMNO hanya menjadi sebuah parti keluarga dan kroni dimana si bapa adalah Ketua Cawangan, Ibu Ketua Wanita, anak lelaki Ketua Pemuda dan anak perempuannya Ketua Puteri. AJK hanya dari saudara mara dan kroni. Inilah punca utama UMNO semakin lemah dan gagal mengekalkan reputasi dalam PRU lalu.
Mampukah UMNO mengekalkan kekuasaan dan mempertahankannya dalam PRU akan datang? Satu soalan yang kita sangat takut untuk mendapat jawapannya. Dalam keadaan UMNO yang sedang 'mereput' ini kita hanya berharap kepada keajaiban untuk melakukannya. Ada pihak yang berkata, kerosakan yang teruk ini memang sudah suasah untuk dipulihkan lagi. Jalan yang ada hanyalah 'membina' semula keruntuhan ini dengan seberapa segera, namun terlebih dahulu harus meruntuhkannya bagi membersihkannya.
Dimana pula nanti harapan orang Melayu? Kita harap PERKASA akan lebih cergas dan berjuang dengan lebih bersemangan untuk mengalas tugas dan tanggungjawab membela agama, bangsa dan negara. Kita masih percaya bahawa 'Tidak Melayu Hilang Di Dunia'
Terima kasih kepada Inai Merah yang memberikan komen di post sebelum ini. Susahnya UMNO adalah kita tidak pernah diberikan peluang untuk menegur dan memperbetulkan parti. Kita hanya boleh berdiam diri kerana kita bukan pemimpin dan hanya pemimpin saja yang berhak bersuara. Seperti didalam mana-mana mesyuarat bahagian, para pemimpin bercakap untuk kita dengari dan kita hanya bercakap apabila pemimpin sudah tidak ada untuk mendengarkannya.
2 comments:
Hahaha! Tak berani orang UMNO nak beri komen? mungkin sebab batu menghempap diatas kepala sendiri?
Teman setuju dpd fakta mike
Post a Comment