Makluman: 1/2010

Sebarang maklumat yang ingin disiarkan sila
hubungi email: spu.blogger@gmail.com serta memaklumkan juga di ruangan komen.




Friday, January 30, 2009

AKHIRNYA …UMNO AKAN BERKUBUR



Akhirnya kita mula percaya bahawa memang UMNO akan berkubur.
(Baca sini: Bubar UMNO-Lawyer Kampung)




Sebagai ahli UMNO yang membesar dan menyertai UMNO diperingkat cawangan hingga ke bahagian,menyumbang tenaga dan berkhidmat untuk UMNO sebagai Ketua Pemuda Cawangan, Ketua Cawangan dan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Bahagian - saya cuba bertahan dan percayakan UMNO akan berubah, namun semakin hari saya semakin kecewa kerana sikap para pemimpin UMNO sendiri yang tidak berubah.


Pemimpin yang kata nak berubah tetapi sikapnya sendiri tidak nak berubah, rasuah yang berlaku kerana perebutan jawatan dalam UMNO maka sayap Puteri pula yang nak di korbankan, ADUN UMNO sendiri sudah benci dan melompat ke parti lain. Saya berpendapat – jika ingin berubah, berubahlah sekarang - SEKARANG JUGA! Bukan esok atau lusa dan bukan mac nanti. Jika tidak, semangat dan kesetiaan UMNO semakin terhakis dan UMNO menjadi semakin kecil dan lemah.


Disekitar Bandar Jerantut beberapa cawangan parti lawan telah dan akan ditubuhkan, apakah yang kita lakukan? Apakah UMNO menyedarinya atau menganggap apa yang boleh mereka lakukan kerana kita kuat dan mereka lemah? Pemimpin mereka turun bersama-sama rakyat sedangkan pemimpin kita tidak pun dikenali rakyat. Maaf jika saya katakan bahawa ada pihak yang beranggapan bahawa 'politik adalah satu perniagaan'.


Dari sebuah blog yang ramai pembacanya saya menemui presepsi bahawa Temerloh jadi bandar pusat pertemuan pembeli dan penjual undi kerana lokasinya yang strategik. Saya tidak tahu nak ucapkan tahniah atau apa?



Kenapa kita harus percaya bahawa UMNO akan musnah? :


1. Sikap pemimpin UMNO masih tidak pernah berubah - ego, sombong dan tidak memikirkan kepentingan rakyat.


2. Politik ‘jaga badan’ pemimpin UMNO peringkat atasan, tidak berani menyatakan kebenaran demi menjaga kepentingan diri. Kebanyakannya adalah 'yesman'


3. Korupsi dan penyelewengan yang masih berlaku disemua peringkat, bahkan ada yang ternyata bersalah kerana korupsi juga dilantik kejawatan dalam UMNO.


4. Sikap menjaga kepentingan kroni masing-masing.


5. Rasuah politik masih berlaku dimana-mana peringkat dan ianya sudah menjadi darah daging ahli UMNO bahkan direstui oleh calon yang bertanding jawatan tertinggi.


6. Penyelewangan ‘suara’ (undi) dimana diperingkat bahagian mencadangkan seseorang calon namun perwakilan memilih calon lain kerana sogokan - suara rakyat telah diselewengkan.


7. Politik 'cah keting' dan 'cantas-mencantas' masih berlaku dimana-mana peringkat menunjukkan pemimpin lebih mementingkan diri dan kroninya lebih dari kepentingan UMNO, terbaru dipercayai turut belaku dalam PRK.


8. Mengagungkan dan memandang tinggi mereka yang belot dari parti lain dan memasuki UMNO tetapi tidak menghargai ahli UMNO sendiri.


9. Pemimpin UMNO kerap buat janji-janji kosong yang mengecewakan ahli parti dan rakyat.


10. Sikap pemimpin yang tak peduli kepada apa yang musuh lakukan kerana terlalu yakin akan kekuatan UMNO


11. Sikap pemimpin UMNO yang berat sebelah - menghukum seseorang namun melindungi seseorang yang lain yang melakukan kesalahan yang serupa.


12. Sebenarnya perjuangan yang dibawa oleh pemimpin UMNO tidak ikhlas dan hanyalah satu retorik semata-mata.


13. Pemimpin tidak peka kepada kehendak ahli/rakyat dan tidak memahami isyarat yang diberikan selama ini.



Dan banyak lagi, .................



Nota:
1. Saudara boleh menghantar komen dan menambah sebab-sebab lain yang sebenarnya terlalu banyak untuk dicatatkan disini. Tambahlah sepanjang mana yang saudara mahukan.


2. Saya sedang memikirkan apakah harus setia kepada parti yang ingin berubah tetapi masih belum terlihat apa-apa perubahannya atau saya harus berubah arah?


Wednesday, January 28, 2009

UMNO harus SEGERA berubah untuk henti penyokong UMNO berubah arah!



Bahtera UMNO yang dilayarkan, andai karam dan tenggelam - siapakah yang akan disalahkan? Benar, mungkin kerana jurumudi yang gagal memandu arah bahtera atau kelasi yang gagal menaikan layar ketika bayu berpuput atau mungkin kerana jurumudi dan kelasi yang gagal menuruti perintah nakhoda. Walau apa pun, kesalahannya tetap kepada nakhoda kerana bahtera dan semua anak kapalnya adalah dibawah perintahnya.

UMNO, selepas pilihanraya umum ke-12 lalu menyaksikan bahawa ianya telah ditolak oleh rakyat. Biar apa alasan sekalipun, yang harus bertanggung-jawab adalah presiden UMNO. Ramai berpendapat bahawa kegagalan presiden UMNO yang juga Perdana Menteri memimpin UMNO dan kegagalan membawa kemajuan kepada ekonomi negara adalah punca utama rakyat menolak UMNO/BN disamping penyelewengan yang banyak berlaku dalam zaman pentadbiran beliau.

Kedegilan beliau mengakui bahawa segala apa yang berlaku adalah berpunca dan tanggungjawabnya membuatkan rakyat memberikan satu lagi isyarat dalam PRK P044 dimana sekali lagi UMNO/BN dimalukan oleh PKR. Apabila pucuk pimpinan UMNO masih berdalih dan enggan mengakuinya maka rakyat memberikan lagi satu isyarat pada PRK P036 yang baru lalu dimana PAS telah memalukan UMNO dengan merampas kerusi Parlimen yang milik UMNO sebelum ini. Dan apakah lagi selepas ini yang mahu pucuk pimpinan terima sebagai tanda protes rakyat yang akan membuatkan pucuk pimpinan menerima dan mengakui hakikat bahawa rakyat telah menolak beliau.

Tulisan dari sebuah blog yang mempunyai ramai pembaca membuat sindiran dengan menyarankan kepada semua ahli parlimen BN/UMNO supaya menjaga kesihatan agar tidak ada ahli-ahli parlimen yang meninggal dunia sebelumPRU13 yang akan menyebabkan diadakan lagi pilihanraya kecil yang mana akan memberikan lagi kekalahan kepada BN/UMNO. Apapun sindiran itu harus diberikan perhatian kerana ramai yang yakin dan mempunyai pendapat yang sama bahawa jika diadakan pilihanraya kecil, maka BN/UMNO akan menerima kekalahan sebagai tanda penolakan rakyat terus-terusan kepada kerajaan BN/UMNO dan pucuk pimpinannya.

Terbaharu, seorang ADUN UMNO dilaporkan telah bertindak keluar parti dan menyertai PKR di Perak. Berbagai alasan diberikan berkenaan ketidaksetiaan ADUN berkenaan terhadap UMNO. Apapun soal pokoknya adalah ADUN berkenaan meninggalkan UMNO dan menyertai parti pembangkang. Diberitakan juga bahawa selepas ini ianya akan diikuti oleh beberapa orang lagi ADUN dinegeri berkenaan akan mengambil tindakan yang sama. Seperti yang dikatakan tadi, mereka meninggaklan UMNO dan menyertai parti pembangkang.

Yang nyatanya adalah UMNO semakin hari semakin lemah, semakin hari semakin parah. Ibarat barah, penyakit ini akan merebah dan akhirnya UMNO akan berkubur dan tinggal nama sahaja. Kita tidak boleh menunggu sehingga bulan mac lagi kerana musuh UMNO tidak menetapkan tarikh pada bulan mac untuk menghapuskan UMNO. Musuh UMNO ingin menguburkan UMNO serta merta dan secepat mungkin. Jika kita masih menanti hingga bulan mac untuk membuat perubahan maka kita akan menjadi semakin lemah apabila tiba saat itu.

Pemimpin-pemimpin UMNO jangan lagi bermimpi. Jangan lagi ego. Jangan lagi sombong. Jangan lagi mencari alasan untuk mengelak dan menegakkan benang basah. Jangan lagi berfikir mereka masih ada peluang untuk melakukan penyelewangan merompak harta rakyat. Jangan lagi hanya mementingkan kroni masng-masing. Mereka semua harus bertekad untuk melakukan sesuatu dengan ikhlas yang sebenar-benarnya untuk survival parti. Luka hati rakyat terlalu dalam dan tersangat sukar untuk sembuh. Akan terlalu banyak masa diperlukan untuk mengubati luka itu. Adakah pemimpin-pemimpin kita benar-benar sedar?

PRK P036 sebagai contoh, apakah pemimpin-pemimpin UMNO benar-benar jujur berjuang demi UMNO? Siapa yang dapat katakan bahawa semua pemimpin tertinggi parti yang datang ke Kuala Terengganu benar-benar ikhlas dan berkempen untuk kemenangan UMNO? Siapa yang dapat nafikan bahawa tiada berlakunya 'cah keting' dalam PRK P036 dahulu? Jadi, apakah pemimpin-pemimpin UMNO benar-benar sayangkan UMNO? Jika pemimpin-pemimpin UMNO sudah tidak sayangkan UMNO, apakah patut kita ahli-ahli biasa diperingkat cawangan ini masih lagi boleh menaruh harapan kepada UMNO?

UMNO harus segera berubah kerana penyokong-penyokong UMNO sedang berubah arah! Pemimpin korup, pentingkan diri sendiri dan kroni mesti berundur atau disingkirkan. Ramai berpendapat ini tsunami politik yang melanda UMNO/BN, tetapi saya suka memberikan gambaran lebih buruk bahawa apa yang berlaku adalah revolusi minda politik Malaysia sedang berlaku dan ianya akan menghancurkan BN/UMNO - lambat atau cepat. Apakah kita ada statistik berapa cawangan UMNO yang telah terkubur atau kekurangan ahli dan berapa cawangan parti pembangkang ditubuhkan dalam masa sebulan, setahun? Jika kita ada statistik ini saya rasa kita akan diserang sakit jantung kerana terkejut.

Thursday, January 22, 2009

SELEPAS PRK P036 - KITA JANGAN JADI PENAKUT

Disaat awal UMNO, semangat UMNO meresap
kedalam darah dan nadi setiap bangsa Melayu


Semua Melayu menyokong UMNO
dan UMNO lah yang memperjuangkan Melayu dan kemerdekaan negara.



Sepertimana permainan bolasepak, kita terlalu menumpukan bahagian pertahanan. Maka kita diasak penyerang lawan. Penyerang kita turun bantu pertahanan. Lalu dapat kita patahkan serangan lawan. Pasukan lawan dibantu pertahananya menyerang lagi, kita gelabah dan kucar-kacir. Satu percubaan ke pintu gol telah berjaya dilakukan, walaupun tidak tepat namun kubu dan benteng pertahanan kita telah ditembusi dan pecahkan. Penyerang kita masih membantu pertahanan. Tiada serangan dibuat. Pertahanan lawan rasa selesa dan mampu membantu penyerangnya mengempur kubu kita, dan akhirnya satu percubaanlagi berjaya dilakukan dan ..GOL! Kita tertewas. Para pemain kita masih mampu tersenyum kemalu-maluan. Penyokong kecewa dan ‘boo’. Pengurus pasukan terduduk dan jurulatih memaling kearah lain. Begitulah keadaan di Kuala Terengganu.


Semasa berkempen, pemimpin kita hanya menumpu kepada kawasan-kawasan dimana kita mempunyai penyokong kuat lalu apabila kedatangnya ‘gah’ lah pemimpin kita diraikan dan disiarkan oleh media-media. Apakah kita lakukan perkara serupa di kawasan-kawasan yang dianggap kawasan musuh? Kenapa tidak? Apakah pemimpin kita takut kepada rakyatnya sendiri? Jika kita tidak menggempur kubu musuh maka apakah ada peluang kita menambah undi dari kalangan mereka?


Tahukah kita bahawa pemimpin-pemimpin lawan juga mengadakan lawatannya dalam kawasan penyokong kuat kita? Mereka lakukan ini walaupun mereka tahu ini adalah kawasan kita. Mereka tahu bahawa mereka perlu lakukan serangan untuk berjaya. Sedangkan kita hanya bertahan untuk menang. Menangkah kita jika bertahan? Perubahan sikap begini harus pemimpin kita lakukan. Serang kawasan musuh. Biarkanlah jika kita di ‘boo’ oleh rakyat. Itulah hakikatnya. Saya percaya bahawa jiwa melayu ada rasa timbang rasa dan malu alah. Setakat mana yang akan mereka lakukan kepada pemimpin kita walau sebenci manapun mereka kepada pemimpin. Jadi untuk akan datang, kita harus lakukan strategi menyerang. Pemimpin harus lebih berani memasuki kawasan yang dianggap penyokong parti lawan. Berceramahlah walaupun hanya kepada SATU orang. Jika setiap kali ceramah kita mendapat satu orang pengikut baru ianya adalah lebih baik dari berceramah dihadapan 1000 pengikut lama yang akan selama-lamanya menyokong kita. Kita jangan jadi PENAKUT!. (Baca sini)


Di PRK P036 – bebaskan kita dari ‘cah keting’? Saya masih melihat bahawa musuh UMNO adalah dari dalam UMNO sendiri. Sikap UMNO telah terbiasa dengan pepatah ‘biar putih tulang jangan putih mata’ Jika kita tidak mendapat, sesiapapun tidak akan mendapatnya. Bahkan kita lebih rela orang lain mendapatnya asalkan jangan ‘musuh’ yang diantara sahabat kita sendiri. Inilah sikap dan perlakuan melayu sebenarnya. Saya tidak pasti setakat mana kita bebas dari ‘cah keting’ dalam PRK P036 lalu tetapi saya yakin ianya masih berlaku atas banyak alasan oleh banyak pihak.


Setakat manakah penumpuan pemimpin-pemimpin kita terhadap PRK P036 lalu? Ramai yang datang tetapi masih ramai yang saya percaya memberikan tumpuan kepada diri mereka sendiri terhadap pemilihan PAU mac nanti – kerana itu adalah lebih penting buat mereka. Kerana itu adalah penentu hidup mati politik mereka. Jika mereka harus berkorban, maka mereka lebih rela mengorbankan Dato’ Wan Farid calon P036 dari mengorbankan diri mereka sendiri pada PAU nanti. Saya tidak mahu mengulas tentang ‘Tembakan Tepat’ kerana saya tidak punya maklumat lengkap. Bagaimanapun kita mendengar ianya berlaku dan dilakukan oleh banyak pihak. BANYAK!


Pengurusan juga harus diambil perhatian. Makanan yang disediakan oleh UMNO berlambak dan akhirnya dibuang begitu saja. Selain dari pembaziran umum akan melihat kita sebagai boros berbelanja. Surat khabar meskipun ianya adalah sumbangan, kenapa masih berlambak dan tidak diedarkan. Sekecil manapun asalkan ianya berupa hadiah saya pasti ada orang akan menghargainya. Penyebaran maklumat tidak juga tidak dilakukan sepenuhnya. Pihak pembangkang mampu mengedarkan poster yang memperjelaskan misi mereka dan tertera jelas logo PAS , PKR dan DAP. Ada juga kalender PAS diedarkan. Betul itu mungkin kecil tetapi itu adalah sesuatu. Supaya pemberian yang kita buat tidaklah jelas berwajah rasuah pollitik. UMNO dan BN mana? (Baca sini kecuali penyokong PAS)


Janganlah penyokong pembangkang mendabik dada bahawa PR tidak lakukan rasuah politik. Mereka melakukan perkara yang sama dan banyak juga. Malahan kadang-kadang lebih besar jumlahnya dari yang UMNO berikan. Jangan nafikan ini, kerana ini adalah perkara yang kita pasti ianya berlaku. Cuma kebijaksanaan pembangkang adalah mampu mempengaruhi rakyat dengan menunjukkan kesalahan kepada UMNO/BN -membaling batu dan menuduh orang lain yang membalingnya. Cuma mereka bukan parti pemerintah jadi mereka tidak mampu menawarkan projek pembangunan. Kalaulah mereka parti memerintah mereka akan lakukan perkara sama, saya pasti ini akan berlaku. (Penyokong PKR JANGAN baca sini)


Ketika berkempen, pembangkang rela memberikan peluang kepada pemimpin bangsa lain untuk berucap dipentas dimana ianya ramai penyokong melayu - kenapa kita tidak memberikan peluang yang sama kepada komponen kita? Kita masih seperti dahulu berharap MCA akan berkempen dikawasan dimana majoriti pengundinya orang cina begitu juga dengan MIC. Tidak nampak keseagaman ketika berkempen.


Saya masih berpendapat untuk menguatkan UMNO harus kita lakukan dengan mengubah sikap – sikap ahli-ahlinya, terutama dan bermula dengan pemimpin. Dan lakukan sehingga keperingkat bawah – akarumbi. Kembalikan semangat UMNO asal. Perkuatkan UMNO dikampong-kampong. Adakah semula aktiviti untuk rakyat. Dan peling penting UMNO cawangan perlu dipimpin oleh mereka yang tidak ada kepentingan selain dari perjuangan untuk rakyat. Mengubah dan membersihkan UMNO di cawangan akan dapat membersihkan UMNO di peringkat bahagian dan seterusnya diatas. Dari atas, jangan lagi ada pemimpin yang turun untuk mencaturkan siapa yang akan ahli-ahli UMNO cawangan pilih sebagai pemimpin. Mereka lebih tahu siapa yang layak lebih dari yang pemimpin peringkat bahagian ketahui. (Baca sini)


UMNO masih ada sedikit lagi peluang untuk perbaiki segalanya. Dan ianya harus dilakukan segera sebelum PRU13. Jika tidak gelombang PRU 12 akan pengaruhi mood pada PRU berikutnya nanti. Gelombang itu harus dipatahkan. Harus dimusnahkan. Saya percaya kepada pendapat bahawa rakyat bukan terlalu menghendaki pembangkang, Cuma mereka tidak dapat menerima UMNO lebih dari kesanggupan mereka menerima pembangkang.


Memulihkan UMNO harus dilakukan oleh semua pihak. Salahkah jika kita menjemput TDM untuk bersama mambantu kita? Hinakah atau jatuhkah maruah kita jika ini kita lakukan? Kenapa pucuk pimpinan tidak mahu lakukan ini? Apakah hanya kerana ego semata-mata atau masih dalam mimpi indah? Atau masih belum sedar akan hakikat sebenar kerana lagu yang didendangkan oleh para penasihat adalah lagu-lagu yang telah melindungi keadaan sebenar? Apakah sebenarnya ada diantara kita yang selepas PRK P036 lalu yang benar-benar pulang dengan gembira apabila kita kalah? Saya berani mengatakan bahawa ada yang akan menyatakan YA!


Saya pernah memimpin UMNO cawangan dan pernah jadi AJK Pemuda Bahagian. Saya masih sayangkan UMNO walaupun saya sudah semakin menjauhi dan ada sedikit rasa benci. Dihati saya masih ada UMNO. Tetapi saya tidak akan teragak-agak menyokong ‘selain dari UMNO’ jika UMNO masih lagi tidak berubah. Jika pemimpin UMNO masih tidak mahu atau belum mampu mengubah keadaan ini. Apakah hanya ada seorang seperti saya? Saya percaya bahawa masih ramai orang yang seperti saya dan yang akan mengambil tindakan seperti yang akan saya ambil kelak. Pada ketika itu, tentulah UMNO tidak akan mampu diubah oleh sesiapapun lagi. Pada saat itu yang mampu dilakukan hanyalah – talkinkan UMNO.


Monday, January 19, 2009

SELEPAS PRK P036 - KITA PULANG GEMBIRA KEKALAHAN


PRK P036 selesai. BN kalah. Majoriti besar. Post mortem. Salah itu. Salah ini. Salah dia. salah mereka. Inilah senario selepas pilihanraya. Sepertimana bolasepak malaysia - sebelum perlawanan semua pihak akan menunjukkan keyakinan. Apabila telah kalah, masing-masing menuding jari - menyalahkan orang lain. Jika tiada sesiapa yang nak disalahkan maka mereka akan salahkan gelanggang, cuaca dan sebagainya. Itulah kita.

Selesai sahaja PRK P036 seperti biasa, banyak pihak memberikan komen dan antaranya;
1. Salah pilih calon
2. Salah pengarah jentera pilihanraya
3. Salah strategi kempen
4. Salah petugas / jentera pilihanraya
5. Salah pengundi tidak menghargai calon dan lain-lain lagi.

Beberapa hari berada di KualaTerengganu menjelang pilihanraya tersebut saya melihat bahawa sebenarnya UMNO/BN tidak menjiwai dan menghayati perjuangan secara jujur. Saya tidak mahu mengulas perkara diatas kerana telah ramai yang membincangkannya dan memang benar semua pihak akan bersetuju bahawa kesalahan bermula sejak awal lagi iaitu sejak pemilihan calon.

Jentera PAS walau dari mana pun mereka datang untuk membantu kempen, tanpa belanja atau belanja besar dari parti namun jiwa mereka bersungguh-sungguh berkerja untuk parti. Mereka dapat menjiwai semangat perjuangan parti dan mereka lakukan itu dengan ikhlas. Mereka tidur dirumah-rumah kenalan atau di masjid-masjid dan surau-surau, tetapi mereka lakukan ini dengan ihklas. Jentera BN? Berapa mereka dibayar untuk ini? Mereka lakukan ini mungkin tidak dengan sepenuh hati kerana semangat mereka tiada untuk parti. Mereka telah terbiasa dengan falsafah: perjuangan (dalam UMNO) adalah satu perniagaan. Kerana ini yang telah diajarkan kepada mereka di cawangan-cawangan dan di bahagian-bahagian dimana mereka terlibat. Lalu, tiada RM tiada kesetiaan. Bagaimanapun akhirnya kita masing-masing gembira pulang membawa sesuatu habuan meskipun calon BN dikalahkan.

Pemimpin-pemimpin yang datang ke KT juga melakukan tugasnya secara 'sambil minum air menyelam'. Bahkan kita mendapat tahu seorang calon jawatan dalam pemuda tidak ghairah menjalankan tugasnya kecuali menunggu para perwakilan yang akan menemuinya di bilik hotel dimana dia menginap untuk membuat satu 'tembakan' tepat kepada perwakilan berkenaan. Beliaulah orangnya yang setelah keputusan tidak berpihak kepada BN memberikan ulasan kekalahan itu tidak boleh disalahkan kepada calon sahaja.

Ada juga terdapat petugas-petugas yang tidak tahu bagaimana melakukan kerja K10 dan tidak pernah melakukannya sebelum ini, jadi bagaimana hendak mendapat hasil tuaian yg baik jika tidak menanamnya dengan benih yang baik juga? Bagaimana pemilihan dibuat? Kenapa UMNO Bahagian-bahagian tidak prihatin?

Pekrja-pekerja PAS lebih menghayati tugas mereka. Mereka mampu me-minimumkan setiap kos yang dibelanjakan. Saya melihat selesai pilihanraya mereka mengumpul dengan cermat bendera dan mana-mana poster yang boleh digunakan semula nanti. Manakala pihak BN hanya mengumpulkannya disuatu tempat dan membiarkan untuk dibuang. Ini masalah sikap. Masalah menghayati perjuangan dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya. Mereka (PAS) nampak lebih menghayati perjuangan parti mereka dengan mereka menjiwai perjuangannya. Inilah semangat yang UMNO ada sewaktu ianya mula ditubuhkan tetapi kemankah hilangnya semangat ini?

Saya berpendapat bahawa masalah utama UMNO adalah masalah sikap. Sikap pemimpin-pemimpin kita dan masalah sikap ahli-ahli kita sendiri. Segalanya telah berubah dan kita harus kembali ke asal untuk tetap mampu bertahan dimasa-masa akan datang. Jika kita dapat membawa balik semangat UMNO ke kampong-kampong dan membiarkan ianya meresap semula keseluruh jiwa rakyat marhaen, maka kita mampu manguatkan semula UMNO. Ini yang sedang terjadi kepada PAS apabila UMNO tidak upaya menawarkan ini kepada rakyat.

Pemimpin-pemimpin mesti buangkan ego mereka. Pemimpin disetiap peringkat biarkanlah mereka yang dipilih ramai bukan yang ditonjolkan oleh orang-orang tertentu untuk kepentingan tertentu. Pemimpin mesti tidak jijik untuk turun padang meredah lumpur walaupun bukan waktu kempen pilihanraya. Berikan sokongan kepada UMNO cawangan untuk menghidupkan aktiviti-aktiviti bercorak kemasyarakatan dan keagamaan kerana kekuatan UMNO harus diakui adalah bermula dari cawangan. Tonjolkan bahawa perjuangan UMNO adalah membela bangsa dengan bukan menonjolkan pemimpin-pemimpin UMNO mendapat kekayaan dari memegang jawatan dalam UMNO. Politik UMNO bukanlah satu perniagaan. Persepsi masyarakat kampong adalah demikian dan ianya haruslah dikikis. Pemimpin-pemimpin korup mesti disingkirkan. UMNO mesti bersih dan nampak bersih. Pemimpin yang lemah dan tidak berupaya memimpin juga patut berundur supaya kepimpinan UMNO kelihatan lebih menyakinkan kearah merubah diri.

Mampukah kita berubah? Bolehkah pemimpin kini melakukannya?

Tahniah kepada jentera Pahang yang berkampong di Paloh, terutama dari Bahagian Temerloh dan Maran yang sangat menunjukkan pristasi cemerlang dalam menjalankan tugas mereka. Juga bahagian Jerantut sendiri walaupun bukan sebagai 'full-force' kerana sebahagian tenteranya gagal sampai ke medan perjuangan. Tahniah kepada Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerantut yang memberikan komitmen sepenuhnya. Juga kepada Pengerusi Penerangan UMNO Negeri YB Dato' Sharkar Shamsuddin kerana kesungguhan memonitorkan jentera UMNO negeri Pahang - Perjuangan belum berakhir!

Thursday, January 15, 2009

KHABAR DARI nGANNU

Dato' Seri Adnan Yaakob turut memberikan
semangat kepada jentera kerja negeri



Setelah sekian lama menyepi diri baru semalam kita mendapat berita dari KW @ Kak Wok (kelabu) @ Norhelan, Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerantut yang berkampong di Losong Datok Amar, dalam kawasan DUN Wakaf Mempelam.

Sempat juga beliau menyampaikan salam dari semua jentera kerja wanita Jerantut yang seramai 10 orang dan merakam rasa gembira dan puashati atas segala usaha yang telah mereka lakukan. Memang memenatkan tetapi ianya adalah sebahagian tugas dan tanggungjawab yang diamanatkan.

Menurut KW, jentera Pahang secara keseluruhannya bertugas dengan penuh ceria dan menerima tugas-tugas ini sebagai tanggungjawab dan cabaran. Kerana itulah setakat ini jentera kerja Pahang adalah diantara yang memberikan khidmat cemerlang. Kehadiran Dato Seri Adnan Yaakob ke rumah Pahang di Paloh baru-baru ini turut memberikan suntikan semangat kepada seluruh jentera kerja negeri.

YB Dato Sharkar selaku Ketua Penerangan Perhubungan UMNO Negeri juga mendapat pujian ramai kerana berjaya memonitorkan jentera negeri dengan baik dalam membantu kemenangan calon BN pada pilihanraya kecil kali ini.

Menurut KW lagi, mereka kini sudah boleh menarik nafas lega bukan kerana terlalu yakin akan kemenangan calon BN tetapi berpuashati atas segala usaha yang dijalankan sejak sebelum hari penamaan calon lagi telah membuahkan hasilnya. Terdapat perubahan ketara melalui response yang diberikan penggundi apabila dibandingkan setelah beberapa hari masa berlalu. Jentera wanita Jerantut menurutnya, berusaha keras sejak awal kerana mereka sedar pada saat-saat akhir mereka akan merasai kepenatannya dan ingin merayakannya dengan kegembiraan atas kemenangan calon yang disokong.

Apabila ditanya mengenai jentera kerja UMNO Bahagian Jerantut, pemuda dan puteri, KW enggan mengulas. Pertanyaan kami berasas kerana sepanjang pengamatan kami, ada sesuatu yang tidak kena berlaku namun cuba dilindungi.

Tuesday, January 13, 2009

SELAMAT BERTUGAS UMNO JERANTUT DI PRK P036

Selepas saja selesai Mesyuarat Perwakilan Bahagian, UMNO Jerantut nampaknya terus menyepi dan tidak lagi menemui rakyat. Mungkin pertandingan yang baru lalu membuatkan pemimpin-pemimpin bahagian masih parah. Cuma ada sekali terdengar Dato' Shukri mengadakan jamuan namun kehadiran tidak menggalakan, maklum sajalah - orang kalah. Siapa nak sokong lagi bila dah kalah. Zaman beliau pegang jawatanpun bukan banyak pun dia membantu masyarakat selain dari membantu keluarga terdekat.

PRK P038 Kuala Terengganu - kemeriahan telah lama terasa. Bahagian-bahagian di negeri Pahang telah menghantar petugas-petugas beberapa hari awal sebelum penamaan calon. Wanita Bahagian Jerantut di ketua barunya Norhelan Mahamud telah berkampong di Wakaf Mempelam sebelum penamaan calon lagi. Seramai lebih 10 orang jawatankuasa wanita menjalankan khidmat membantu memenangkan calon BN.

Pemuda dengan seramai 6 petugas datang beberapa hari kemudian. Puteri hanya dengan 4 orang datang hanya pada 11hb.Jan.2009. Seakan tidak ada keseragaman dan permaufakatan dalam bahagian Jerantut. Lebih menyedihkan lagi, dimanakah petugas-petugas dari UMNO Bahagian Jerantut? Kerana sehingga kini masih tidak ada datang atau mungkin mereka datang halimunan?

Bagaimanapun, syabas kepada ketua wanita UMNO Jerantut yang setia dan berusaha menggalas tugas yang berat itu. Untuk mereka-mereka yang bertugas bagi pihak seluruh warga Jerantut kita ucapkan selamat bertugas dan selamat berjuang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Referrer

Ruang iklan untuk disewa

Ruang iklan untuk disewa
SILA KLIK UNTUK KE IKLAN