
Akhirnya kita mula percaya bahawa memang UMNO akan berkubur.
(Baca sini: Bubar UMNO-Lawyer Kampung)
Sebagai ahli UMNO yang membesar dan menyertai UMNO diperingkat cawangan hingga ke bahagian,menyumbang tenaga dan berkhidmat untuk UMNO sebagai Ketua Pemuda Cawangan, Ketua Cawangan dan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Bahagian - saya cuba bertahan dan percayakan UMNO akan berubah, namun semakin hari saya semakin kecewa kerana sikap para pemimpin UMNO sendiri yang tidak berubah.
Pemimpin yang kata nak berubah tetapi sikapnya sendiri tidak nak berubah, rasuah yang berlaku kerana perebutan jawatan dalam UMNO maka sayap Puteri pula yang nak di korbankan, ADUN UMNO sendiri sudah benci dan melompat ke parti lain. Saya berpendapat – jika ingin berubah, berubahlah sekarang - SEKARANG JUGA! Bukan esok atau lusa dan bukan mac nanti. Jika tidak, semangat dan kesetiaan UMNO semakin terhakis dan UMNO menjadi semakin kecil dan lemah.
Disekitar Bandar Jerantut beberapa cawangan parti lawan telah dan akan ditubuhkan, apakah yang kita lakukan? Apakah UMNO menyedarinya atau menganggap apa yang boleh mereka lakukan kerana kita kuat dan mereka lemah? Pemimpin mereka turun bersama-sama rakyat sedangkan pemimpin kita tidak pun dikenali rakyat. Maaf jika saya katakan bahawa ada pihak yang beranggapan bahawa 'politik adalah satu perniagaan'.
Dari sebuah blog yang ramai pembacanya saya menemui presepsi bahawa Temerloh jadi bandar pusat pertemuan pembeli dan penjual undi kerana lokasinya yang strategik. Saya tidak tahu nak ucapkan tahniah atau apa?
Kenapa kita harus percaya bahawa UMNO akan musnah? :
1. Sikap pemimpin UMNO masih tidak pernah berubah - ego, sombong dan tidak memikirkan kepentingan rakyat.
2. Politik ‘jaga badan’ pemimpin UMNO peringkat atasan, tidak berani menyatakan kebenaran demi menjaga kepentingan diri. Kebanyakannya adalah 'yesman'
3. Korupsi dan penyelewengan yang masih berlaku disemua peringkat, bahkan ada yang ternyata bersalah kerana korupsi juga dilantik kejawatan dalam UMNO.
4. Sikap menjaga kepentingan kroni masing-masing.
5. Rasuah politik masih berlaku dimana-mana peringkat dan ianya sudah menjadi darah daging ahli UMNO bahkan direstui oleh calon yang bertanding jawatan tertinggi.
6. Penyelewangan ‘suara’ (undi) dimana diperingkat bahagian mencadangkan seseorang calon namun perwakilan memilih calon lain kerana sogokan - suara rakyat telah diselewengkan.
7. Politik 'cah keting' dan 'cantas-mencantas' masih berlaku dimana-mana peringkat menunjukkan pemimpin lebih mementingkan diri dan kroninya lebih dari kepentingan UMNO, terbaru dipercayai turut belaku dalam PRK.
8. Mengagungkan dan memandang tinggi mereka yang belot dari parti lain dan memasuki UMNO tetapi tidak menghargai ahli UMNO sendiri.
9. Pemimpin UMNO kerap buat janji-janji kosong yang mengecewakan ahli parti dan rakyat.
10. Sikap pemimpin yang tak peduli kepada apa yang musuh lakukan kerana terlalu yakin akan kekuatan UMNO
11. Sikap pemimpin UMNO yang berat sebelah - menghukum seseorang namun melindungi seseorang yang lain yang melakukan kesalahan yang serupa.
12. Sebenarnya perjuangan yang dibawa oleh pemimpin UMNO tidak ikhlas dan hanyalah satu retorik semata-mata.
13. Pemimpin tidak peka kepada kehendak ahli/rakyat dan tidak memahami isyarat yang diberikan selama ini.
Dan banyak lagi, .................
Nota:
1. Saudara boleh menghantar komen dan menambah sebab-sebab lain yang sebenarnya terlalu banyak untuk dicatatkan disini. Tambahlah sepanjang mana yang saudara mahukan.
2. Saya sedang memikirkan apakah harus setia kepada parti yang ingin berubah tetapi masih belum terlihat apa-apa perubahannya atau saya harus berubah arah?