1.
Semalam berkesempatan menghadiri satu program khas dan mendengar amanat DS Najib. Memang kebelakangan ini banyak pihak yang mencerca tindakan DS Najib sebagai PM. Namun apakah kita sedar bagaimana sukarnya untuk membuat keputusan ketika suara bangsa Melayu ini sudah semakin terpinggir akibat perpecahan? Sukarnya membuat keputusan ketika kita tidak ada kekuatan! Mungkin tanpa sedar agenda memburukan PM, BN dan UMNO adalah agenda pihak lawan yang secara halus menyusup dalam jiwa kita.
Kreadibiliti DS Najib ingin dicalarkan menjelang PAU. Mereka sudah tidak mampu menjatuhkan PM dan BN dalam PRU13 dan sedang mengumpul mengumpul segala kelemahan DS Najib menjelang PRU14. Matlamatnya hanya satu, DS Najib mesti dijatuhkan, BN mesti di tumbangkan dan UMNO serta bangsa Melayu mesti pecahbelahkan. Mungkin kita tidak sedar, mereka melakukannya dan kita membantu dari dalam.
Mengambil sebarang tindakan ketika ini bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung jangan berselerak. Agenda UMNO mesti diutamakan kerana UMNO membawa perjuangan dan harapan bangsa. Jangan jadi Pak Kadok, Ayam menang Kampong tergadai.
Atas nama demokrasi kita berebut jawatan dalam parti. Sebagaimana atas nama demokrasi rakyat di Mesir dan Syiria menentang kerajaan. Akhirnya atas nama demokrasi dan agenda asing sebuah negara telah hancur begitu saja.
UMNO berdepan sakit 'daibetis' kronik. Pilihan hanya 1, memotong anggota untuk menyelamatkan nyawa, atau membiarkannya yang akhirnya mambawa maut.
PM memilih dan menentukan calon-calon dalam PRU lalu. Bagaimanapun ahli UMNO yang memilih Katua Bahagian masing-masing. Bagi meminimumkan kerosakan didalam parti, hindari sebarang pertembungan. Jika ada sebarang kekosongan ianya wajar diisi dan wajar adanya pertandingan atas nama demokrasi. Namun menjatuhkan pemimpin sedia ada adalah perbuatan tamakkan kuasa atau tidak sabar menunggu giliran.
2.
Apa rasionalnya Ketua Bahagian dan Wanita Jerantut ditentang? Apakah ini perjuangan parti? Atau hanya perjuangan peribadi serta kepentingan kroni? Setiap kali ada peperangan pasti ada yang terbunuh dan luka. Yang menang sewajarnyalah membuang penderhaka yang dikalahkan. Yang kalah kemudiannya akan meminggirkan diri atau menyeberang ke parti lain. Tidakkah UMNO akan jadi semakin kecil?
Di beberapa cawangan UMNO di Jerantut, untuk terus kekal berkuasa Ketua Cawangannya menyingkirkan ahli-ahli yang berpotensi menjadi Ketua. Bilangan ahli yang dulunya ramai sudah jadi semakin mengecil akibat menyertai parti pembangkang, lalu bagaimana di tahun-tahun akan datang dapat kita menangi PRU dengan ahli dan penyokong yang semakin sedikit? Ahli-ahli baru tidak didaftarkan kerana kebimbangan akan ditentang. Golongan profesional dan bijak pandai dipinggirkan, yang tinggal hanyalah yang 'separuh tiang'. Inikah sikap dan semangat UMNO didalam hati kita?
Jika benar kita inginkan UMNO terus kekal menjadi wadah perjuangan bangsa, jangan ada sebarang pertandingan menentang Ketua Bahagian dan Ketua Wanita (di Jerantut). Itu bukannya agenda perjuangan bangsa. Itu hanyalah agenda peribadi dan kroni. Atau agenda untuk membesarkan 'langau-langau' yang akan mengelilingi bangkai.
Apakah perwakilan dalam Mesyuarat UMNO Bahagian akan datang hanyalah 'jerung-jerung' yang merayakan saat Jong pecah dan menunggu habuan? Membenarkan kata 'Jong Pecah Yu Kenyang'? Inikah perjuangan bangsa yang kita war-war dan agongkan selama ini? Kerana habuankah kita berebut-rebut untuk jadi perwakilan ke Bahagian?
Siapa sebenarnya yang sayangkan UMNO? Orang yang tamakkan kuasa dan menentang? Atau kita yang diberikan ganjaran untuk memilihnya? 'Tidak Melayu Hilang di Dunia', namun Melayu yang ada nanti adalah yang hilang jiwa nuraninya....yang tidak akan mampu meneruskan lagi perjuangan memertabatkan bangsa.
Dalam perjalanan pulang ke KL saya temui soalan tanpa sebarang jawapan; Siapa kata UMNO akan semakin kuat jika pertandingan dibiarkan berterusan? Untuk apa Ketua Bahagian dan Ketua Wanita ditentang? Siapa yang mencaturkannya? Siapa yang menaja dan membiayai kemusnahan ini?
Ketika DAP berusaha keras menutup keburukan dan membendung keruntuhannya, ahli-ahli UMNO pula berusaha memunahkan parti sendiri kerana perjuangan peribadi........
No comments:
Post a Comment