Kekalkan Ku Lan sepenggal lagi bagi kestabilan UMNO Bahagian
Kiamat UMNO bukan hanya akan berlaku di Jerantut sahaja, ianya berlaku dimana-mana. Cuma dalam kontek ini kita mengkhususkan kepada Jerantut, bahagian dimana kita jadi ahlinya.
Rungutan dari seorang kawan dari sebuah cawangan di Pulau Pinang elok kita jadikan iktibar: Sayap Wanita dan Pemuda sebuah cawangan telah mengadakan mesyuarat tanpa pengetahuan Ketua dan Ahli-ahli Jawatankuasa UMNO Cawangan. Itu dilakukan kerana ingin menaikkan orang-orang tertentu dan menjatuhkan orang-orang tertentu. Pertandingan itu wajar atas nama demokrasi dalam UMNO namun perbuatan mereka itu mampu memecah-belahkan dan menghancurkan UMNO cawangan berkenaan.
Di sebuah cawangan dalam bahagian kita, Ahli Parlimen dikalahkan dan dimalukan apabila tewas dalam Persidangan Cawangan. Kekalahan seseorang boleh diterima bagi setiap pertandingan, cuma bagaimana ianya dikalahkan mungkin boleh dipertikaikan. Kemungkinan juga tokoh yang dimaksudkan itu tidak pernah endahkan cawangannya, tidak pernah komited kepada tugas dan tanggungjawabnya terhadap cawangan.
Bukanlah satu kesalahan atau kejanggalan bila Ahli Parlimen bukan Ketua UMNO Bahagian demikian juga sebaliknya. Ahli UMNO hendaklah melihatnya sebagai 2 perkara yang berbeza. Meletakkan seseorang sebagai calon wakil rakyat adalah hak mutlak pemimpin atasan, nemun mengangkat seseorang menjadi Ketua di Cawangan dan Bahagian adalah hak mutlak ahli-ahli sendiri.
Sebaiknya kita redha pada ketentuan takdir Allah. Ada cita-cita untuk memimpin rakyat itu bagus namun jangan terlalu mengikutkan pandangan penasihat yang akhirnya nyata hanyalah punahsihat yang menjahanamkan kerana tamak dan haloba.
Keharmonian dalam UMNO adalah dengan mengelakan sebarang perebutan. Banyakkan berunding atau muzakarah sesama ahli. Jangan pisahkan atas alasan kem-kem. Ingatlah bahawa UMNO yang telah sangat tua ini sudah banyak kali berpecah-belah. UMNO bukanlah hak milik kekal seseorang tetapi pemimpin hanyalah diamanahkan untuk memimpinnya dalam waktu-waktu tertentu. Allah memberi dan akan mengambil kembali.
Ada pihak yang tidak percaya bahawa UMNO akan punah dan tidak lagi akan memerintah dalam PRU akan datang. Ini bukan ugutan tetapi adalah kenyataan yang tidak mustahil akan berlaku apabila kita asyik berpecah-belah. UMNO jadi semakin kecil dan akhirnya, walaupun kita jadi pemimpin, kumpulan kita yang mengecil itu tidak lagi akan ada suara dan kehilangan kuasa. UMNO dan bangsa Melayu akan jadi minoriti dalam politik negara.
Perwakilan UMNO jadi perebutan kerana mereka melihat akan mendapat 'laba' dari undi yang akan diberikan. Itulah 'mind set' setiap perwakilan, bahkan ada antaranya memang ditaja sejak dari pemilihan peringkat cawangan lagi bagi menentukan kemenangan orang atau kumpulan tertentu. Jadi, bukankah UMNO perwakilan ini antara yang terlibat dalam 'rasuah politik'? Mereka sanggup mengadaikan masuah UMNO untuk kepentingan diri sendiri, jadi siapa yang sayangkan UMNO?
Ada pihak yang suka adanya perlawanan terutama bagi kerusi tertinggi. Mereka bagaikan 'Yu' yang sentiasa mengharapkan 'Jong' pecah, maka timbullah kata; "Jong Pecah Yu Kenyang'.Namun kita lupa apabila semua Jong sudah pecah, lalu bagaimana dapat kita belayar lagi selepas ini?
Pendekatan terbaik dalam UMNO bahagian menjelang Mesyuarat Perwakilan kali ini adalah mengelakkan sebarang pertandingan dengan memberikan sokongan kepada yang masih berkuasa. Dalam kata lain, jangan ditandingi sebarang jawatan terttinggi. Kita hanya akan memilih bagi mengisi mana-mana kerusi yang dikosongkan dengan rela.
Untuk apa Ketua Bahagian ditandingi? Untuk apa juga Ketua Wanita ditentang? Bukankah kerana tamakkan kuasa? Jangan kita membenarkan kata pencacai pembangkang bahawa perjuangan didalam UMNO hanyalah untuk kepentingan diri dan mendapatkanj projek semata-mata. Namun itulah yang jelas kelihatan. Kerana itulah sudah ramai yang menolak UMNO dan menyokong pembangkang.
Percayalah, apa yang kita lakukan pada hari ini akan menentukan sama ada UMNO akan terus kekal atau akan terus lenyap menjelang PRU14 nanti. Ada siap peduli?
Nota kaki:
Blog SPU dibacai dan dirujuk oleh blog-blog Jerantut. Sila rujuk blog WZWH, Borok Politik Weh, Karok dan lain-lain. Ada lebih 40 blog-blog mewakili Jerantut menjadikan Jerantut sebagai bandar dimana teramai blogger di Pahang. Cuma, jadilah yang terbaik, menulis dengan berhemah bukan untuk mengaibkan sesiapa dan niatkan untuk kepentingan UMNO. Pemimpin datang dan pergi, namun apabila UMNO dibuang dari hati rakyat tidak mungkin ia mampu kembali lagi.